Program SKS 2026 Bawa Perkhidmatan Terus Kepada Rakyat Sri Aman
SRI AMAN: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman bakal menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan rakan strategik bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan serta bantuan secara langsung berteraskan konsep Pusat Sehenti.
Program anjuran Kerajaan Sarawak itu akan berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman selama tiga hari, bermula 30 Oktober hingga 1 November.
Perkhidmatan yang disediakan termasuk pembayaran bil utiliti, semakan dan pembayaran premium tanah, khidmat nasihat agensi kerajaan, aduan awam melalui kaunter Talikhidmat, pendaftaran program bantuan serta pemeriksaan dan konsultasi kesihatan secara percuma.
Pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat mengenai pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak, termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), peluang pekerjaan melalui JobSarawak, bantuan kebajikan dan kemudahan pembiayaan usahawan.
Antara acara yang bakal memeriahkan program ialah Malam Budaya Sarawak pada 30 Oktober dan Konsert Rakyat pada 31 Oktober yang menampilkan barisan artis terkenal tanah air dan tempatan.
Pelbagai aktiviti sukan turut disediakan, termasuk Senam Kenyalang, SKS Unity Walk sejauh empat kilometer, pertandingan pickleball, petanque, ping pong, e-sukan, wall climbing dan sukaneka rakyat bagi menggalakkan penyertaan masyarakat serta gaya hidup aktif dan sihat.
Pengunjung juga berpeluang menyertai e-Peraduan yang menawarkan lebih 90 hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan melebihi RM85,000, dengan hadiah utama berupa sebuah Perodua Bezza bernilai lebih RM39,000.
Majlis perasmian program dijadualkan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 31 November.
Sehubungan itu, penduduk Bahagian Sri Aman dan kawasan sekitarnya dijemput hadir beramai-ramai bagi memanfaatkan pelbagai perkhidmatan, bantuan dan aktiviti yang disediakan sepanjang penganjuran Program SKS 2026. -EDISI UKAS