Bicara Ilmuwan Se-Borneo Perkukuh Perkongsian Ilmu Islam
KUCHING: Program Bicara Ilmuwan Se-Borneo menjadi platform perkongsian ilmu dan pertukaran pandangan dalam kalangan ilmuwan Islam dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata, pertemuan tersebut menghimpunkan barisan mufti dan ilmuwan Islam dari rantau Borneo bagi memperkukuh perkongsian ilmu dalam kalangan masyarakat Islam.
“Ini merupakan satu perjumpaan yang membolehkan perkumpulan ilmu berlaku dalam kalangan umat Islam di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Bicara Ilmuwan Se-Borneo sempena Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo Tahun 1448H/2026M di Islamic Information Centre-MIS (IIC-MIS) di sini, pada Isnin.
Menurutnya, penganjuran program itu turut melengkapi Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Se-Borneo yang menghimpunkan 32 peserta dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan lima wilayah di Kalimantan yang mana acara tilawah al-Quran dimulakan pada malam ini, manakala pertandingan hafazan dijadualkan berlangsung pada keesokan pagi.
Selain itu, Datuk Misnu turut memaklumkan bahawa terdapat cadangan untuk menganjurkan program tilawah dan hafazan berkenaan setiap dua tahun sekali, namun perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama wakil wilayah dan negara yang mengambil bahagian.
Forum Bicara Ilmuwan Se-Borneo dikendalikan oleh Pegawai Tadbir (Komunikasi) Pejabat Premier Sarawak Zamri Mohamad dengan menampilkan Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim, Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu@Aziz Jaafar, Penolong Mufti (Buhuth) Negara Brunei Darussalam Dato Seri Setia Dr Awang Mazanan Yusof serta pensyarah Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia Dr Harjani Hefni.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Nur Nabilla & Naseem