Sarawak Sasar Kapasiti Penjanaan Tenaga 15 Gigawatt Menjelang 2035
KUALA LUMPUR: Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga mencecah 15 gigawatt menjelang 2035, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukannya sebagai pembekal tenaga hijau serantau.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata lebih 70 peratus bekalan elektrik Sarawak ketika ini dijana daripada sumber tenaga boleh diperbaharui, terutamanya hidroelektrik, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk memperluas pembangunan tenaga bersih.
“Di Sarawak, kami tidak hanya mahu menjadi ‘bateri ASEAN’. Kami mahu menjadi pembekal tenaga hijau yang boleh dipercayai untuk rantau ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan EnerGex 2026 di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, peralihan tenaga Sarawak turut melibatkan usaha mengurangkan penggunaan loji janakuasa arang batu secara berperingkat serta beralih kepada pembangunan empangan secara berperingkat dan loji janakuasa berasaskan gas serta hidrogen di Bintulu dan Miri.
Dalam sektor penyimpanan tenaga, Sarawak Energy telah mentauliahkan sistem penyimpanan tenaga bateri berskala utiliti pertama di Malaysia di Loji Janakuasa Sejingkat, berkapasiti 60 megawatt atau 82 megawatt-jam, bagi menyokong kestabilan grid elektrik.
Sementara itu, pembangunan hidrogen yang bermula pada 2019 kini bergerak daripada projek perintis kepada usaha komersial berskala besar bersama rakan antarabangsa, dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai hab hidrogen serantau.
Dari aspek kesalinghubungan tenaga, Sarawak telah mengeksport elektrik ke Kalimantan Barat sejak 2016 dan mula membekalkan elektrik ke Sabah, manakala peluasan rangkaian seterusnya dirancang ke Brunei serta pasaran ASEAN yang lebih luas.
Beliau berkata, sambungan grid elektrik antara Sarawak dengan Semenanjung Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) juga berpotensi menghubungkan bekalan tenaga hijau Sarawak secara langsung kepada pusat permintaan di Semenanjung.
Sehubungan itu, beliau menggesa pelabur, institusi kewangan, pemain industri dan institusi pendidikan memperkukuh kerjasama bagi mempercepat pembangunan tenaga hijau serta menyediakan tenaga kerja berkemahiran untuk memenuhi keperluan ekonomi tenaga baharu.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama antara Sarawak Energy, Tenaga Nasional Berhad (TNB), PETRONAS dan rakan industri lain penting untuk membangunkan rangkaian tenaga yang lebih kukuh di peringkat nasional dan serantau.-EDISI UKAS