Pendidikan, Infrastruktur Dan Perpaduan Teras Pembangunan Masyarakat Padawan
KUCHING: Pendidikan, pembangunan infrastruktur dan perpaduan masyarakat terus menjadi teras utama dalam usaha memajukan kawasan Padawan, termasuk memperkasa modal insan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, pembangunan menyeluruh bukan sahaja bergantung kepada penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air terawat dan elektrik, malah perlu disokong pembangunan modal insan.
"Ini bagi memastikan generasi muda mampu bersaing serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat," katanya ketika berucap dalam Majlis Ngarom Bipajak Biperoh di Dewan @ Barei Persatuan Biperoh Kuching, Jalan Puncak Borneo, pada Sabtu.
Justeru katanya, kerjasama antara pemimpin masyarakat, penghulu, ketua kaum, persatuan dan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan perancangan pembangunan dilaksanakan dengan berkesan serta memenuhi keperluan penduduk setempat.
Dalam aspek pendidikan, Datuk Dr Jerip menegaskan bahawa peluang pembelajaran perlu terus diperluas, khususnya bagi membantu anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan membina masa depan yang lebih baik.
Beliau menzahirkan rasa bangga terhadap generasi muda dari kawasan Padawan yang berjaya dalam pelbagai bidang profesional, termasuk kejuruteraan, undang-undang, seni bina dan perubatan, sekali gus membuktikan kepentingan pendidikan dalam mengubah kehidupan masyarakat.
Dalam majlis tersebut, Datuk Dr Jerip turut menyampaikan insentif pendidikan kepada 14 penerima berjumlah RM4,500 sebagai galakan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan. -EDISI UKAS