Kesedaran Keselamatan Siber Penting Dalam Kalangan Belia
TEBEDU: Kesedaran mengenai keselamatan siber perlu terus diperkukuh dalam kalangan golongan belia bagi membolehkan mereka lebih berwaspada terhadap ancaman penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, golongan belia perlu sentiasa berhati-hati ketika menggunakan platform digital dan sentiasa menyemak kesahihan suatu maklumat serta berwaspada dengan scammer dalam talian.
"Golongan belia diingatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika menggunakan platform digital, bijak menilai kesahihan maklumat serta tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik penipuan dalam talian yang boleh menyebabkan kerugian kewangan dan penyalahgunaan maklumat peribadi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Ceramah Keselamatan Siber Bersama Komuniti Tebedu di Dewan Saberkas, Pusat Khidmat N.21 Tebedu, pada Sabtu.
Tambahnya, usaha meningkatkan kesedaran keselamatan siber bukan sahaja menjadi tanggungjawab individu, malah memerlukan kerjasama semua pihak bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.
Beliau berharap ilmu dan perkongsian yang diperoleh sepanjang program berkenaan dapat dimanfaatkan oleh peserta serta disebarluaskan kepada ahli keluarga dan komuniti masing-masing.
Dalam perkembangan sama, program tersebut turut menyaksikan pembukaan kaunter pendaftaran keahlian oleh wakil Ibu Pejabat Saberkas yang menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 50 ahli baharu mendaftar pada hari berkenaan.
Perkembangan itu mencerminkan minat golongan belia untuk menyertai Saberkas serta membuka ruang kepada penglibatan lebih aktif dalam pelbagai aktiviti pembangunan belia dan kemasyarakatan. -EDISI UKAS