Program Sarawak Kita Empun Perkukuh Persediaan Jentera PBB Hadapi PRN
SRI AMAN: Program Sarawak Kita Empun dan Persediaan Pilihan Raya menjadi platform memperkukuh kesiapsiagaan jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang
Program anjuran PBB Cawangan N.28 Lingga dengan kerjasama PBB Cawangan N.31 Bukit Begunan dan PBB Cawangan N.32 Simanggang itu merangkumi beberapa slot ceramah berkaitan persediaan pilihan raya dan pengukuhan jentera parti.
Antara pengisian program ialah ceramah bertajuk Persediaan Pilihan Raya serta Peranan dan Tanggungjawab PACA yang disampaikan oleh Setiausaha Eksekutif PBB, Datu Takun Sunggah.
Turut diadakan ceramah mengenai Inisiatif Gabungan Parti Sarawak (GPS) oleh Timbalan Bendahari MTW PBB, Natasha Datuk Douglas, serta ceramah mengenai Struktur dan Peranan Jentera Sarawak Kita Empun (SKU) oleh Ahli Jawatankuasa Induk PBB, Sulhie Salleh.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Naib Yang Dipertua PBB Datuk Dr Annuar Rapaie yang berlangsung di Hotel Sri Simanggang, Sri Aman pada Ahad.
Dalam ucapannya, Datuk Dr Annuar menegaskan kepentingan peranan akar umbi sebagai tunjang utama dalam memastikan kemenangan GPS pada pilihan raya.
Beliau turut mengingatkan rakyat Sarawak supaya memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan negeri, khususnya dalam bidang pendidikan dan peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Sarawak.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berharap semua yang hadir terus mengekalkan semangat perpaduan dan kesediaan berkorban demi masa depan Sarawak.
Beliau turut menyeru seluruh jentera parti supaya sentiasa bersiap siaga serta berganding bahu dalam menghadapi PRN Sarawak akan datang.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kiplie dan Pegawai Khas Premier Sarawak, Datuk Helmi Bujang. -EDISI UKAS