Kursus Kesedaran Sivik Dan Kenegaraan Perkukuh Perpaduan Masyarakat
KAPIT: Kursus Kesedaran Sivik dan Kenegaraan di Rumah Untang Anak Jirau, Nanga Sekura, Sungai Yong, menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Program anjuran Pejabat Daerah Kapit itu dihadiri seramai 276 peserta berdasarkan rekod pendaftaran KEMAS serta menghimpunkan pemimpin masyarakat, ketua kaum dan wakil agensi kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, ketika merasmikan program tersebut pada Ahad menekankan kepentingan menghayati lima prinsip Rukun Negara sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya menghormati kepelbagaian kaum, agama dan budaya serta memperkukuh semangat Segulai Sejalai bagi mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
“Masyarakat juga perlu mematuhi undang-undang, menghormati pihak berkuasa, mengelakkan penyebaran berita palsu dan mengamalkan semangat gotong-royong demi keselamatan serta kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram turut menekankan kepentingan memelihara adat, bahasa dan budaya Iban sebagai warisan generasi akan datang, selain menggalakkan ibu bapa mendidik anak-anak serta mendorong golongan muda menimba ilmu tanpa melupakan identiti budaya sendiri.
Dalam pada itu, Datuk Jefferson berharap kursus berkenaan dapat melahirkan masyarakat yang berilmu, bertanggungjawab dan bersatu padu, di samping memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan komuniti rumah panjang.
Turut hadir Pegawai Daerah Kapit, Thomas Geoffrey Kandawang, Pegawai KEMAS Bahagian Kapit, Leena Taro, Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri, Robert Anyau; Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri, Favian Masing, ketua-ketua masyarakat dan wakil jabatan serta agensi kerajaan.-EDISI UKAS