Jambatan Besi Beri Sinar Kepada Penduduk 15 Kampung Long Urun
LONG URUN: Jambatan Besi Sungai Penyuan yang menjadi akses utama ke Long Urun di sini memberi sinar dalam memudahkan perhubungan penduduk di 15 kampung sekitar kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, jambatan berkenaan memainkan peranan penting dalam memendekkan perjalanan ke Long Urun dan kawasan sekitarnya, selain meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna.
“Kemudahan itu turut memudahkan urusan harian masyarakat, termasuk perjalanan murid ke sekolah, akses kepada perkhidmatan kesihatan, pengangkutan hasil pertanian serta pergerakan pekerja dan aktiviti ekonomi setempat,” katanya semasa merasmikan jambatan tersebut pada Ahad.
Pembinaan jambatan tersebut dilaksanakan menerusi inisiatif Projek Rakyat Kerajaan Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit sebagai agensi pelaksana.
Sehubungan itu, Kennedy menyeru pihak pengurusan ladang, khususnya Urun Plantation Sdn. Bhd., Sarawak Oil Palms (SOP) dan syarikat perladangan lain yang menggunakan laluan berkenaan supaya bekerjasama dalam penyelenggaraan jambatan serta jalan utama sepanjang kira-kira 30 kilometer menuju ke Long Urun.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk mendapatkan kelulusan Kerajaan Sarawak bagi membolehkan jalan tersebut diambil alih secara rasmi untuk tujuan penyelenggaraan yang lebih teratur dan berterusan.
Kennedy turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, JKR Bahagian Kapit, pihak perladangan serta masyarakat setempat atas kerjasama dalam menjayakan projek berkenaan.
Majlis perasmian yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Urun bersama Urun Plantation Sdn. Bhd. itu turut dihadiri Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Asap, Sylvester George, wakil JKR Sarawak, Abbas Said, Pemanca Tony Kulleh, Pengarah Urusan Urun Plantation, Henry Choo serta Pengarah Perladangan, Capt. V. Panirchellvum S/O Velautham, PGB.-EDISI UKAS