Projek RTP 2026 Rumah Pait Awan, Rumah Labang Uvat Siap Lebih Awal
BELAGA: Projek menaik taraf rumah panjang di Rumah Pait Awan dan Rumah Labang Uvat, Long Urun, Belaga berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual ditetapkan.
Perkara itu dimaklumkan semasa Program Pemeriksaan Akhir Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 yang disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit dan pihak kontraktor pada Ahad.
Kennedy merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada pihak kontraktor atas kejayaan menyiapkan projek berkenaan lebih awal daripada jadual.
Katanya, pelaksanaan projek RTP itu merupakan hasil kerjasama erat antara penduduk rumah panjang, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pihak kontraktor serta JKR selaku agensi pelaksana.
Beliau berharap inisiatif pembangunan Kerajaan Sarawak menerusi projek RTP dapat diteruskan di kawasan pedalaman bagi meningkatkan kemudahan, kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat luar bandar.
Program pemeriksaan akhir itu turut dihadiri wakil JKR Bahagian Kapit, Frederick Gira, Penghulu Dominic Minggu, Pengejaau Ume’ Pait Awan, Pengejaau Ume’ Labang Uvat, pihak kontraktor serta penduduk rumah panjang berkenaan.-EDISI UKAS