MIRI: Seramai 309 peserta dari Miri, Limbang, Belaga dan Kuching menyertai TL Athletics Meet 2026 yang berlangsung di Stadium Bandaraya Miri pada Ahad, sekali gus membuka peluang kepada bakat baharu untuk diketengahkan dalam sukan olahraga.
Bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek berkata, penganjuran kejohanan seumpama itu penting untuk mengenal pasti bakat baharu serta memberi peluang kepada atlet muda mengembangkan potensi dalam sukan olahraga, khususnya di Miri dan Sarawak.
“Saya berharap kejohanan ini akan dapat memberikan impak yang besar kepada negeri Sarawak,” katanya ketika ditemui pada kejohanan berkenaan berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang.
Kejohanan itu mempertandingkan empat acara utama, iaitu larian 60 meter, 100 meter, lari berganti-ganti 4x100 meter dan larian 1,500 meter, melibatkan enam kategori lelaki dan perempuan, masing-masing bawah 10, bawah 12, bawah 14, bawah 17, terbuka berusia 18 hingga 34 tahun serta Masters berusia 35 hingga 55 tahun.
Penggunaan sistem pemasaan elektronik dalam kejohanan itu turut membantu merekodkan masa larian peserta secara lebih tepat, sekali gus memberikan pengalaman pertandingan yang lebih tersusun dan menggalakkan peserta menilai serta memperbaiki prestasi masing-masing.
Penganjuran kejohanan itu juga bertujuan mengenal pasti minat masyarakat terhadap acara balapan dan padang serta menggalakkan penyertaan dalam sukan olahraga merentas peringkat umur.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSN), sukarelawan, sekolah dan kelab yang memberikan sokongan dalam menjayakan kejohanan tersebut.-EDISI UKAS