Cadangan Bina Lebih Banyak Laluan Pejalan Kaki Berbumbung, Jejantas Di Sibu
SIBU: Lebih banyak laluan pejalan kaki berbumbung dan jejantas dicadangkan dibina di kawasan sekolah di sekitar bandar Sibu bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan pelajar dan guru.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee menekankan bahawa terdapat keperluan infrastruktur sedemikian bagi mendepani iklim tropika rantau ini.
Katanya, inisiatif ini direka untuk melengkapi pembangunan pengangkutan awam yang akan datang, terutamanya pelancaran 13 unit bas elektrik (EV) tambang percuma yang dijadualkan beroperasi di Sibu pada suku pertama tahun depan.
“Seperti yang anda tahu, tahun depan kita akan melancarkan perkhidmatan bas EV dengan 13 unit bas EV tambang percuma di Sibu tidak lama lagi pada suku pertama.
“Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) sedang bekerjasama untuk memasang hentian bas baharu di sekitar Sibu di lokasi strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita setelah meninjau projek laluan pejalan kaki berbumbung di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Pelawan di Kolej Vokasional Sibu, pada Isnin.
Datuk Michael Tiang menyatakan bahawa konsep tersebut diilhamkan dari Singapura, yang menggunakan laluan pejalan kaki berbumbung yang meluas bagi menyediakan kemudahan awam di bawah keadaan cuaca tropika.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mencadangkan pembinaan jejantas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rosli Dobi dan Kolej Vokasional Sibu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sibu bagi meningkatkan keselamatan pelajar dan guru.
Katanya, cadangan itu dikemukakan susulan kemalangan maut membabitkan seorang guru melintas jalan baru-baru ini di kawasan berkenaan yang mempunyai keadaan pencahayaan agak malap.
Beliau berkata, jejantas turut diperlukan di beberapa lokasi lain, termasuk SMK Ulu Sungai Merah dan SMK Bandar Sibu di Jalan Ling Kai Cheng.
“Jalan Ulu Sungai Merah kini sedang dilebarkan menjadi jalan dua hala dengan dua lorong perjalanan, justeru kemudahan lintasan pejalan kaki yang selamat amat diperlukan,” katanya.-EDISI UKAS