Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Pupuk Semangat Kesukanan, Perpaduan Belia Di Long Urun
LONG URUN: Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Long Urun Edisi Ke-4 Tahun 2026, Piala Pusingan YB ADUN Murum, terus menjadi platform penting dalam memupuk semangat kesukanan, perpaduan dan pembangunan belia di kawasan Long Urun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, kejohanan berkenaan bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kejuaraan, malah berperanan membentuk disiplin, sahsiah, semangat berpasukan dan persahabatan dalam kalangan peserta serta masyarakat setempat.
Beliau turut menekankan kepentingan menyediakan peluang, bimbingan dan sokongan berterusan kepada golongan belia di kawasan pedalaman agar bakat mereka dapat dikembangkan.
“Penganjuran aktiviti sukan secara berterusan diharap dapat menggalakkan gaya hidup sihat, meningkatkan keyakinan diri serta menjauhkan golongan muda daripada gejala sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis penangguhan rasmi kejohanan tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Urun pada Ahad.
Kennedy turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Bola Sepak Urun, SK Long Urun serta jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan kejohanan itu buat kali keempat sambil berharap kejohanan tersebut terus diperkukuh dari segi pengurusan dan penyertaan supaya menjadi acara sukan tahunan yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Long Urun dan kawasan sekitarnya.
Beliau turut berharap agar kejohanan itu diteruskan sebagai wadah pembangunan sukan dan belia, sekali gus memperkukuh perpaduan masyarakat serta menyemarakkan semangat kerjasama dalam usaha membangunkan Long Urun dan kawasan DUN Murum.
Dalam pada itu, beliau menyentuh kepentingan pembangunan infrastruktur asas, khususnya kemudahan jalan perhubungan ke Long Urun.
Katanya, penambahbaikan jalan sepanjang kira-kira 30 kilometer masih perlu diberi perhatian bagi meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan asas dan peluang ekonomi.
Majlis turut menjadi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan, termasuk pengadil, petugas, penaja, penyumbang, sukarelawan dan masyarakat setempat yang memberikan sokongan sepanjang penganjuran berlangsung. - EDISI UKAS