RM20,000 Geran MRP Diperuntukkan Ke Gereja BEM Bintangor
BINTANGOR: Gereja BEM Bandar Bintangor bakal menerima geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM20,000 bagi melaksanakan aktiviti tahunan pada 2027.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing ketika menghadiri Sambutan Ulang Tahun Gereja BEM Bandar Bintangor Ke-37 di gereja berkenaan pada Ahad.
Pada majlis itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak gereja atas jemputan serta mengucapkan tahniah kepada seluruh jemaat atas pencapaian 37 tahun perjalanan gereja berkenaan.
Menurut beliau, gereja bukan sahaja menjadi tempat beribadat, malah memainkan peranan penting dalam membentuk nilai-nilai murni, kasih sayang dan sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menghargai komitmen para pemimpin gereja, pastor, ahli jawatankuasa dan seluruh jemaat dalam membangunkan gereja serta membimbing masyarakat sepanjang 37 tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Ding turut memaklumkan penyaluran RM5,000 kepada Gereja BEM Julau.
Beliau berharap Gereja BEM Bandar Bintangor akan terus berkembang maju, memperkukuh hubungan sesama jemaat serta meneruskan usaha membimbing generasi muda dengan nilai-nilai murni supaya menjadi individu yang bertanggungjawab dan mampu menyumbang kepada keluarga serta masyarakat.
Sambutan tersebut turut dihadiri penceramah jemputan, Pastor Fabian Ajok dan Pastor Gereja BEM Bandar Bintangor, Pastor Christianson Chau Merang.-EDISI UKAS