UNIFOR Salur RM250,000 Kepada SJK(C) Tong Hua dan SMK Tong Hua
MERADONG: SJK (C) Tong Hua dan SMK Tong Hua masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM125,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menyokong usaha menambah baik kemudahan dan pembangunan pendidikan di sekolah berkenaan.
Penyerahan cek tersebut disempurnakan dalam satu upacara ringkas di Dewan SMK Tong Hua di sini pada Ahad.
Majlis itu dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing serta guru besar, Ahli Lembaga Sekolah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kedua-dua sekolah.
Peruntukan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi memenuhi keperluan sekolah, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada para guru serta pelajar.
Datuk Ding turut menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah, Ahli Lembaga Sekolah dan PIBG atas kerjasama serta komitmen dalam menyokong pembangunan pendidikan di kawasan Meradong.
Sumbangan berjumlah RM250,000 itu diharap dapat terus memberikan manfaat kepada warga SJK (C) Tong Hua dan SMK Tong Hua dalam usaha memperkukuh kemudahan pendidikan serta menyokong pembelajaran para pelajar.-EDISI UKAS