Fundraising Dinner BEM Uma Juman Himpun Sokongan Pembangunan Gereja Baharu
MURUM: Majlis Fundraising Dinner Pembangunan Gereja Baharu BEM Uma Juman di Uma Juman Eda Beran, Apau Koyan, Sungai Koyan, pada Sabtu berjaya menghimpunkan kira-kira 300 orang bagi menyokong usaha pembinaan gereja baharu untuk kegunaan penduduk setempat.
Majlis anjuran Gereja BEM Uma Juman Apau Koyan itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon yang menekankan kepentingan perpaduan, kerjasama dan komitmen seluruh jemaat dalam menjayakan pembangunan rumah ibadah berkenaan.
“Pembinaan gereja bukan sekadar menyediakan bangunan fizikal, malah merupakan usaha membina iman, memperkukuh perpaduan jemaat serta mewariskan nilai kerohanian kepada generasi akan datang.
“Sumbangan pelbagai pihak dalam bentuk kewangan, tenaga, kepakaran dan doa amat bermakna bagi memastikan usaha tersebut dapat diteruskan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) atas sokongan terhadap pembangunan rumah ibadah bukan Islam di negeri ini, termasuk di kawasan DUN Murum.
Menurutnya, Gereja BEM Uma Juman telah diberikan keutamaan dalam usaha mendapatkan bantuan UNIFOR Fasa Kedua Tahun 2026, namun jumlah bantuan masih belum dapat diumumkan sementara menunggu pengesahan dan proses penyaluran berkaitan.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Asap Belaga, Sylvester George, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola majlis, Donny Dian Talik, Pemanca Tony Kulleh, Pemanca Umek Jeno, Penghulu Musa Talik serta pemimpin gereja dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS