Usia Bukan Penghalang Kekal Aktif, Sihat Melalui Sukan
MIRI: Faktor usia bukan penghalang untuk terus kekal aktif, sihat dan bersemangat menerusi penglibatan dalam aktiviti sukan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata penglibatan golongan veteran dalam sukan membuktikan aktiviti fizikal boleh diteruskan tanpa mengira usia.
Menurut beliau, sukan pickleball bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan fizikal, malah menggalakkan interaksi sosial, membina persahabatan dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan peserta.
“Usia bukan penghalang untuk terus kekal aktif, sihat dan bersemangat,” katanya ketika berucap pada Golden Masters Pickleball Challenge 1.0 2026 di Paragon Pickleball Centre Senadin, di sini pada Ahad.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 Oktober itu dianjurkan Midcourt Pickleball Club dengan kerjasama Santoh Pickleball Club dan merupakan kejohanan pickleball veteran yang julung kali diadakan seumpamanya di rantau ini.
Datuk Sebastian berkata, format pertandingan yang menggabungkan kategori umur 100 tahun ke atas, 110 tahun ke atas serta beregu berumur 40 tahun ke atas mencerminkan semangat keterangkuman dan kesamarataan dalam sukan.
Beliau turut menyambut baik penyertaan pemain dari Bintulu, Sibu, Kuching, Mukah dan Kota Kinabalu yang membuktikan sukan mampu menyatukan masyarakat merentasi sempadan geografi.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran kejohanan berkenaan turut membantu mempromosikan Miri sebagai destinasi pelancongan sukan yang semakin berkembang.
Menurutnya, kehadiran peserta dari luar Miri berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada sektor penginapan, makanan, pengangkutan dan perniagaan tempatan.
Beliau berharap usaha sedemikian dapat diteruskan bagi memperkukuh perkembangan sukan pickleball di Sarawak serta menggalakkan lebih ramai masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif tanpa mengira usia.-EDISI UKAS