Program Kesedaran Keselamatan Dan Kebersihan Sungai Perkukuh Kesedaran Masyarakat Daro
DARO: Kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan dan kebersihan sungai perlu terus diperkukuh bagi memastikan sungai kekal sebagai sumber kehidupan yang selamat, bersih dan terpelihara untuk manfaat generasi kini dan akan datang.
Perkara itu selaras dengan pelaksanaan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai Kampung Tengah, Daro, yang melabuhkan tirainya pada Sabtu dan disempurnakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Dr. Safiee Ahmad di Dewan Kampung Tengah, Daro.
Menurtu Safiee, majlis itu menjadi wadah penting dalam meningkatkan kesedaran penduduk setempat mengenai tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan sungai serta mengutamakan keselamatan ketika menjalankan aktiviti di kawasan perairan.
“Sungai bukan sahaja berperanan sebagai laluan pengangkutan dan sumber rezeki kepada masyarakat, malah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian penduduk, khususnya di kawasan luar bandar yang bergantung pada pengangkutan sungai untuk pelbagai urusan.
“Justeru, usaha memberikan pendedahan mengenai keselamatan dan kebersihan sungai amat penting bagi membentuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan serta pencemaran alam sekitar,” ujarnya.
Jelasnya, program seumpama itu turut mencerminkan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa berkaitan dan masyarakat setempat dalam memastikan pengurusan sungai dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
Kesedaran mengenai keselamatan sungai perlu diterapkan dalam kehidupan seharian, termasuk mematuhi langkah-langkah keselamatan ketika menggunakan pengangkutan air, menjaga kebersihan kawasan sungai serta mengelakkan perbuatan membuang sampah dan bahan buangan ke dalam sungai.
Pada masa sama katanya, pemeliharaan ekosistem sungai juga memerlukan penglibatan masyarakat secara aktif supaya khazanah alam berkenaan terus terpelihara dan dapat diwariskan kepada generasi seterusnya dalam keadaan baik.
Justeru, beliau berharap penganjuran program berkenaan diharap dapat menyemarakkan semangat kerjasama dalam kalangan penduduk Kampung Tengah dan masyarakat Daro secara keseluruhannya untuk menjadikan keselamatan serta kebersihan sungai sebagai tanggungjawab bersama.
Tegasnya, usaha berterusan melalui pendidikan, kesedaran dan penglibatan masyarakat diyakini mampu membentuk persekitaran sungai yang lebih selamat, bersih dan lestari, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai kemajuan yang mampan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Hadir sama ialah Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Pengangkutan Sungai dan Laut, Kementerian Pengangkutan Sarawak, Rudy Beltran Paris yang mewakili Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Penolong Pengawal Wilayah II, Sibu, Mohammad Fadzli Noh yang mewakili Pengawal LSS, serta Penolong Pegawai Hidupan Liar, Sarawak Forestry Corporation (SFC) Wilayah Sibu, Dinnis Umpol Andrew Ungon.
Turut hadir, wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daro, Abu Hady Harry, Penghulu Jebli Ngok, Ketua Kaum Kampung Tengah, Ali Akbar Aban serta beberapa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang lain.- EDISI UKAS