Pelaburan Baharu Perkasa Industri Hiliran Tanjung Manis
TANJUNG MANIS: Pelaburan bernilai RM50.25 juta bagi pembinaan kilang cerucuk dan tiang konkrit di Tanjung Manis dijangka memperkukuh sektor pembuatan serta industri hiliran di kawasan berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaburan oleh PMW Winabumi (Sarawak) Sdn Bhd itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi perindustrian Sarawak.
“Pelaburan ini akan memberi peluang kepada komuniti perniagaan tempatan dan masyarakat setempat, khususnya dari segi pekerjaan, pembekalan perkhidmatan logistik serta perkhidmatan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Spun Pile & Pole Factory PMW International Berhad di Tanjung Manis pada Isnin.
Kilang yang dibangunkan di kawasan seluas 29 ekar di sepanjang Sungai Rajang itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 10,683 tan produk sebulan.
Operasi kilang dijangka bermula pada suku keempat tahun depan, manakala pengeluaran penuh disasarkan bermula pada awal 2028.
Datuk Amar Awang Tengah berkata, lebih 50 peratus keperluan bahan mentah kilang itu disasarkan diperoleh daripada pembekal tempatan bagi memperluas penyertaan perniagaan setempat dalam rantaian bekalan industri.
“Pada masa sama, pemindahan teknologi dan perkongsian ilmu perlu diberi perhatian bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan serta memastikan masyarakat setempat turut menikmati limpahan ekonomi daripada pelaburan ini,” katanya.
Tambah beliau, pelaburan itu dijangka menyumbang kepada pengukuhan ekosistem perindustrian Tanjung Manis melalui perkembangan sektor pembuatan, penglibatan perniagaan tempatan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja.
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato‘ Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya, Ahli Parlimen Tanjong Manis Dato Ir Yusuf Abdul Wahab, Penasihat PKS MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais serta tetamu lain. - EDISI UKAS