Masyarakat Rumah Panjang Diseru Tingkat Kewaspadaan Tangani Ancaman Dadah
SELANGAU: Masyarakat di rumah panjang diseru agar sentiasa meningkatkan kewaspadaan dan bekerjasama dalam menangani ancaman penyalahgunaan dadah serta memastikan keselamatan komuniti sentiasa terpelihara.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, peranan masyarakat amat penting dalam memastikan kawasan rumah panjang kekal selamat dan bebas daripada gejala sosial yang boleh menjejaskan kesejahteraan komuniti.
"Penduduk juga perlu berwaspada terhadap kehadiran individu yang tidak dikenali bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku. Dadah adalah musuh utama negara,” tegas beliau ketika berucap pada Program Bersama Komuniti dan Low Carbon Program di Rumah Nibong Anak Chendang, Sungai Arip, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan menjaga kebersihan dan alam sekitar kerana persekitaran yang bersih memainkan peranan penting dalam menjamin kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.
Program anjuran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC) itu turut memberi pendedahan kepada komuniti mengenai amalan karbon rendah dan kitar semula, keselamatan kebakaran, pencegahan denggi serta kesedaran berkaitan rabies.
Inisiatif berkenaan sekali gus memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti dalam mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan selamat.-EDISI UKAS