Sarawak Perkukuh Kedudukan Sebagai Destinasi Pelaburan
TANJUNG MANIS: Sarawak merekodkan pelaburan domestik dan asing melebihi RM116.8 bilion sepanjang 2021 hingga 2024, mencerminkan potensi negeri sebagai destinasi pelaburan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, usaha menarik pelaburan berkualiti akan terus diperkukuh bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Lebih 60 peratus daripada pelaburan yang diluluskan telah direalisasikan atau sedang dilaksanakan, menunjukkan kemajuan dalam pelaksanaan projek pelaburan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kilang Spun Pile & Pole PMW International Berhad di Bandar Baru Tanjung Manis, pada Isnin.
Menurutnya, Sarawak turut merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM11.2 bilion pada 2026, sekali gus memperluas peluang pertumbuhan ekonomi negeri.
Katanya, dasar yang jelas, kerangka perundangan kukuh dan perlindungan pelabur menjadi antara faktor penting dalam membina keyakinan syarikat tempatan serta antarabangsa.
Perkembangan pelaburan turut merangkumi tambahan pelaburan OCI bernilai RM2 bilion di Bintulu serta pengembangan operasi Western Digital di Kuching.
Kerajaan negeri jelasnya juga memperkukuh pembangunan tenaga kerja melalui kerjasama dengan institusi dan agensi bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
"Pendidikan TVET dan STEM perlu terus diperkasa melalui kerjasama institusi pengajian tinggi, CENTEX dan TEGAS bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran selaras dengan keperluan industri pada masa kini,” jelasnya.
Tambahnya, pelaburan berkualiti membuka peluang pekerjaan, memperkukuh perniagaan tempatan dan menyokong pembangunan ekonomi yang mampan.
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato‘ Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya, Ahli Parlimen Tanjong Manis Dato Ir Yusuf Abdul Wahab, Penasihat PKS MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais serta tetamu lain. - EDISI UKAS