Majlis Tilawah Al-Quran Se-Borneo Jadi Wadah Kerjasama Serantau
KUCHING: Majlis Tilawah Al-Quran Bandar Raya Se-Borneo 1448H/2026M menjadi wadah merapatkan hubungan masyarakat Islam di Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia, selain membuka ruang perkongsian maklumat serta usaha bersama membangunkan ummah di rantau Borneo.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata, perjumpaan ketua-ketua delegasi sempena majlis itu membolehkan wakil yang hadir menyelaras urusan penganjuran dan meneroka peluang kerjasama untuk dilaksanakan pada masa hadapan.
“Tujuan utama majlis ini diadakan ialah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah Islamiah antara masyarakat Islam di bandar raya seluruh Borneo,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sebelum Perjumpaan Ketua Delegasi Majlis Tilawah Al-Quran Bandar Raya Se-Borneo 1448H/2026M di Kompleks Islam Sarawak di sini, pada Isnin.
Menurutnya, dengan kira-kira 17 juta penduduk Islam di Borneo, ia merupakan jumlah yang signifikan untuk dibangunkan menerusi kerjasama antara wilayah, pertukaran maklumat dan pelaksanaan program bersifat Islamik secara bersama.
Justeru, beliau berharap hubungan yang terjalin menerusi penganjuran itu dapat dikekalkan melalui lebih banyak inisiatif serantau pada masa hadapan.
Perjumpaan itu menghimpunkan wakil delegasi dari Sabah, Brunei Darussalam dan lima wilayah di Kalimantan, Indonesia, selain Sarawak sebagai tuan rumah.
Perjumpaan tersebut turut membincangkan penetapan tuan rumah bagi edisi seterusnya pada 1450H/2028M serta cadangan penubuhan Jawatankuasa Majlis Tilawah Al-Quran Se-Borneo bagi menyelaras penganjuran akan datang.
Turut hadir, wakil delegasi Brunei Darussalam, Awang Zunaidi Abdul Rahman dan Dayang Nor Ismah Fatin Faridah Rosbna, Datuk Awang Juri Ag. Tahir mewakili delegasi Sabah, Brig Jen Pol (Purn) Drs. H. Andi Musa mewakili delegasi Kalimantan Barat, Muhammad Sharif Sidi mewakili delegasi Kalimantan Utara, Almubasir dan Saiful Fahmi mewakili delegasi Kalimantan Tengah, Dr. Dasmiah mewakili delegasi Kalimantan Timur dan H. Ahmad Sawiti mewakili delegasi Kalimantan Selatan.- EDISI UKAS