Ikatan Kekeluargaan Asas Kelangsungan Masyarakat Bisaya
LIMBANG: Ikatan kekeluargaan yang erat, semangat perpaduan dan kerjasama menjadi asas penting dalam memastikan kelangsungan dan identiti kaum Bisaya terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, program Hari Keluarga merupakan platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh kesatuan dalam kalangan masyarakat Bisaya.
“Walaupun kaum Bisaya merupakan masyarakat yang kecil, ikatan kekeluargaan perlu sentiasa diperkukuh supaya masyarakat terus bersatu dan saling menyokong antara satu sama lain,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Hari Keluarga Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bisaya Tahun 2026 di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, masyarakat Bisaya turut mencatatkan pencapaian membanggakan dalam bidang pendidikan dan ekonomi dengan semakin ramai anak kaum itu berjaya dalam pelbagai bidang profesional, termasuk perubatan, kejuruteraan dan sektor korporat.
Menurut beliau, kejayaan generasi muda perlu diseimbangkan dengan kesedaran untuk terus menghargai asal usul, adat dan budaya masyarakat sendiri agar warisan tersebut tidak dilupakan seiring perubahan zaman.
Sehubungan itu, beliau berharap golongan muda diberi peluang lebih luas untuk melibatkan diri dalam kepimpinan masyarakat, termasuk jawatankuasa kampung dan persatuan, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta pembangunan komuniti terus terpelihara.
Beliau turut menegaskan bahawa pemimpin masyarakat perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran, khususnya dalam aspek kepimpinan, pengurusan serta pentadbiran, bagi melaksanakan amanah yang diberikan dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, Datuk Hasbi menggalakkan masyarakat Bisaya yang menetap atau bekerja di luar kawasan supaya terus mengekalkan hubungan dengan kampung halaman, khususnya dengan meluangkan masa bersama keluarga ketika musim perayaan dan cuti.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah menyemai semangat perpaduan, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memastikan Adat dan budaya masyarakat Bisaya terus dipelihara.-EDISI UKAS