Perayaan Kuih Bulan Lambang Kesatuan, Keharmonian Rakyat Sarawak
MIRI: Perayaan Kuih Bulan bukan sekadar tradisi kebudayaan masyarakat Cina, malah menjadi simbol kesatuan, kemakmuran dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata sambutan seumpama itu wajar diteruskan sebagai wadah memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut beliau, penganjuran sambutan berkenaan selaras dengan semangat Segulai Sejalai yang menekankan keharmonian dan kebersamaan masyarakat di Sarawak.
“Perayaan Kuih Bulan bukan sekadar satu tradisi kebudayaan masyarakat Cina, tetapi turut menjadi simbol kesatuan, kemakmuran dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Moon Cake Festival 2026, di Dewan Serbaguna Persatuan Thai Poo, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian merakamkan penghargaan kepada pasukan pengelola yang bertungkus-lumus menjayakan program tersebut meskipun sambutan Perayaan Kuih Bulan telah berlangsung pada bulan sebelumnya.
Beliau turut berharap sambutan seumpama itu dapat terus dianjurkan bagi mengeratkan hubungan antara ahli parti dan masyarakat setempat.
Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Miri merangkap Pengerusi Cawangan PBB Piasau, Kr. Ariffin Mohamad.-EDISI UKAS