Kemudahan Infrastruktur, Pendidikan Digital dan Latihan Teknikal Diberi Tumpuan
LIMBANG : Kemudahan infrastruktur, pendidikan digital dan latihan teknikal terus diberi perhatian bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta menyediakan peluang pembangunan yang lebih baik, khususnya kepada komuniti luar bandar.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata kemajuan perlu dinilai bukan sahaja melalui pembangunan berskala besar, malah berdasarkan kemudahan, peluang dan kesejahteraan yang dapat dinikmati oleh rakyat.
“Bagi saya, inisiatif seperti ini amat besar maknanya. Kemajuan negara itu bukan sekadar diukur melalui pembangunan berskala besar, tetapi juga melalui sejauh mana kemudahan, peluang dan kesejahteraan dapat dirasai secara adil oleh setiap lapisan rakyat, termasuk masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Digital, Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Kementerian Digital Malaysia di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, pelaksanaan Program Kampung Angkat di Kampung Belimbing Melugus dan Program Sekolah Angkat di Limbang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM700,000 bagi memenuhi keperluan komuniti dan institusi pendidikan yang terlibat.
Tambah beliau, sebanyak RM500,000 diperuntukkan kepada Kampung Belimbing Melugus bagi menyediakan kemudahan seperti lampu solar LED, kelengkapan sokongan kampung dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), yang memberi manfaat secara langsung kepada 29 isi rumah.
Dalam pada itu, sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan program Sekolah Angkat di Sekolah Kebangsaan St. Edmund, merangkumi pemasangan skrin LED di dewan, pembekalan papan pintar (smartboard) dan pemasangan pusat capaian tanpa wayar (wireless access point).
Jelas beliau, sebanyak RM100,000 turut disalurkan kepada institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan peralatan elektrik di Kampung Belimbing Melugus, sekali gus memberi peluang kepada pelatih memperoleh pengalaman praktikal serta meningkatkan kemahiran teknikal.
Beliau turut menyambut baik pelaksanaan sesi pembelajaran interaktif yang memberi pendedahan kepada murid dan komuniti setempat mengenai kecerdasan buatan (AI), literasi digital, keselamatan siber serta pencegahan penipuan dalam talian bagi meningkatkan kesedaran tentang penggunaan teknologi secara selamat.
Datuk Hasbi berharap semua kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan dan dijaga dengan baik oleh penerima, selain menggalakkan kerjasama berterusan antara kerajaan, agensi pelaksana, pemimpin masyarakat dan penduduk bagi memastikan manfaat program dapat dinikmati dalam jangka panjang.-EDISI UKAS