KUCHING: Seramai 23,037 penerima bantuan kebajikan bulanan di seluruh Sarawak telah mendapat manfaat daripada program Sejambak Kasih, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.46 juta setakat April 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan golongan yang memerlukan turut diraikan dan tidak terpinggir ketika musim perayaan.
“Apabila penerima bantuan kebajikan turut diraikan dalam sambutan perayaan, hal ini menyampaikan mesej bahawa mereka tetap sebahagian daripada kehidupan komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Deepavali Tahun 2026 di The Waterfront Hotel, Kuching, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata program Sejambak Kasih yang telah dilaksanakan selama lebih dua dekad menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) turut menjangkau penerima bantuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak, Deepavali dan Krismas.
Jelasnya, program tersebut bukan sekadar menyampaikan bantuan, sebaliknya membawa mesej bahawa setiap individu berhak dilayan dengan penuh bermaruah serta kekal menjadi sebahagian daripada masyarakat.
“Program ini mencerminkan satu prinsip penting dalam kesejahteraan komuniti, iaitu bantuan dan keprihatinan mesti sampai kepada mereka yang memerlukannya, dan setiap individu berhak dilayan dengan penuh bermaruah,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, kesusahan bukan sahaja memberi kesan terhadap kewangan seseorang, malah boleh menjejaskan keyakinan diri, kesejahteraan emosi dan rasa kekitaan dalam masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berkata semua pihak termasuk kerajaan, organisasi komuniti, sektor perniagaan dan keluarga mempunyai tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus mengamalkan nilai belas ihsan dalam kehidupan seharian, termasuk membantu mereka yang memerlukan serta memastikan tiada golongan berasa terpinggir daripada komuniti. -EDISI UKAS