Buku Sejarah Tokoh Kantonis Penting Dalam Memelihara Warisan Sarawak
KUCHING: Penerbitan buku sejarah yang mendokumentasikan sumbangan tokoh Kantonis di Sarawak penting dalam memelihara warisan sejarah negeri dan meningkatkan pemahaman generasi akan datang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, buku Prominent Cantonese Leaders of Sarawak merupakan satu bab penting dalam warisan sejarah Sarawak.
Beliau berharap penerbitan hasil penulisan Dr. Hing-Yan Lee itu dapat menggalakkan minat lebih mendalam terhadap sejarah Sarawak, selain membuka ruang kepada penyelidikan lanjut mengenai tokoh dan komuniti yang menyumbang kepada pembentukan negeri ini.
Buku berkenaan merakamkan perjalanan hidup serta sumbangan tokoh Kantonis dalam pelbagai bidang, termasuk perniagaan, pendidikan, kepimpinan masyarakat dan perkhidmatan awam sejak era Brooke hingga Sarawak moden.
Antara tokoh yang diketengahkan ialah Lau Chek, Teng Kung Suk, Kong Yik Khing, Chan Chak, Lee Weng Thong dan Stephen Kalong Ningkan.
Penerbitan itu turut menelusuri peranan masyarakat Kantonis dalam pembangunan ekonomi, penubuhan institusi pendidikan serta aktiviti kebajikan dan kebudayaan yang membantu membentuk landskap sosial Sarawak.-EDISI UKAS