Song Team 99 Dominasi Empat Kategori Powerboat Pesta Song 2026
SONG: Song Team 99 mencuri tumpuan pada Pesta Song 2026 apabila muncul juara dalam empat kategori perlumbaan powerboat, sekali gus menyerlahkan saingan sengit acara sukan air yang menjadi antara tarikan utama pesta berkenaan.
Pasukan itu menjuarai kategori 18HP, 30HP (3 Piston), 50HP ke bawah dan 45SST dalam pertandingan yang menghimpunkan hampir 100 bot.
Sementara itu, Triple L muncul juara kategori 30HP (2 Piston), manakala Song Team 9 mengungguli kategori 40HP (2 Piston).
Bagi acara perahu kayuh jarak jauh, Kelab Pegawai Perhubungan URDA meraih gelaran juara, diikuti Team Nabau Beratong di tempat kedua dan Persatuan Penduduk Ulu Katibas di tempat ketiga.
Kelab Pegawai Perhubungan URDA turut menjuarai kategori perahu kayuh pecut 500 meter antara jabatan, manakala Kelab Medical Song menduduki tempat kedua dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di tempat ketiga.
Majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi di Pekan Song pada Ahad.
Pesta Song 2026 berlangsung selama 10 hari bermula 16 Oktober lalu, di Pekan Song dengan pelbagai pengisian termasuk pertandingan memancing, sukan rakyat, bazar jualan dan pentas rakyat.
Penganjuran tahun ini turut menyaksikan penyertaan peserta dari Singapura, Brunei Darussalam, Australia dan Denmark, selain persembahan empat bot berkuasa tinggi 200 kuasa kuda daripada kategori Formula F2000.
Pesta berkenaan menarik kira-kira 3,000 pengunjung dan berpotensi membantu mempromosikan Song sebagai destinasi sukan air serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.-EDISI UKAS