Kempen 'Donate A Potato' Galak Budaya Berkongsi Rezeki
MIRI: Kempen kebajikan ‘Donate a Potato’ diperkenalkan bagi menggalakkan masyarakat berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan menerusi sumbangan ubi keledek yang boleh dibuat ketika membeli makanan di cawangan Domino Potato.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, inisiatif itu membuktikan bahawa sumbangan kecil mampu membawa perubahan bermakna kepada mereka yang memerlukan.
“Konsepnya mudah tetapi penuh bermakna. Kita tidak perlu memberikan sumbangan yang besar untuk membantu orang lain.
"Sumbangan kecil sekalipun, seperti mendermakan sebiji ubi keledek, mampu membawa perubahan kepada seseorang yang memerlukan makanan dan sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran kempen ‘Donate a Potato’ anjuran Persatuan Kebajikan Domino Miri di Bintang Megamall, di sini, Ahad.
Menurut Datuk Sebastian, kempen itu memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang mengikut kemampuan masing-masing, dengan ubi keledek yang didermakan akan dikumpulkan oleh pihak Domino sebelum diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak syarikat dan individu menyokong inisiatif kebajikan seumpama itu bagi memperluas bantuan kepada masyarakat, selain memupuk semangat prihatin dan saling membantu.
Datuk Sebastian turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Kebajikan Domino Miri atas usaha memperkenalkan pendekatan kreatif dalam aktiviti kebajikan, serta pihak pengurusan Bintang Megamall atas sokongan dan tajaan tempat bagi reruai Domino Potato.
Pada majlis itu, tiga penaja iaitu IBS College, Reunion Diner dan Abundance Agency menyumbangkan 100 biji ubi keledek sebagai sumbangan permulaan kepada kempen berkenaan.-EDISI UKAS