Perancangan Bandar Pintar, Pengangkutan Awam Penting Untuk Masa Depan Kuching
KUCHING: Perancangan bandar pintar yang mengutamakan kelestarian, penggunaan teknologi moden dan sistem pengangkutan awam cekap penting bagi memastikan Kuching terus berkembang sebagai bandar yang selesa, bersih dan berdaya huni pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan bandar perlu dirancang bukan sahaja untuk memenuhi keperluan semasa, malah mengambil kira cabaran dan perubahan dalam tempoh 30 tahun akan datang.
“Perkara yang paling penting ialah bandar raya itu mempunyai identitinya sendiri, khususnya dari segi kebersihan dan penggunaan kemudahan yang disediakan di dalam bandar raya tersebut.
“Sebab itulah Kerajaan Sarawak memberikan perhatian terhadap cara sesebuah bandar dibangunkan. Hari ini, sesebuah bandar mungkin berada dalam keadaan baik, tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam tempoh 30 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sarawak Urban Forum (SUF) 2.0 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, pada Isnin.
Tambahnya, identiti sesebuah bandar bukan sahaja bergantung pada kemodenan infrastruktur, tetapi turut ditentukan oleh kebersihan, penyelenggaraan kemudahan dan keupayaan pihak berkuasa mengurus bandar dengan berkesan.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sarawak masih mempunyai ruang untuk pembangunan yang perlu dimanfaatkan secara terancang, termasuk penyediaan kawasan kediaman yang disokong oleh sistem pengangkutan awam cekap.
Katanya, jumlah trafik yang tinggi dari kawasan seperti Samarahan, Batu Kawa, Bau dan Siburan menunjukkan kepentingan menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang dapat menghubungkan kawasan kediaman dengan pusat bandar secara lebih efisien.
Ujarnya, tempoh perjalanan sekitar 30 minit menggunakan pengangkutan awam merupakan sasaran yang munasabah, dengan sokongan infrastruktur jalan raya dan sistem mobiliti yang baik.
“Justeru, kerajaan sedang mempelbagaikan kemudahan infrastruktur dan memperkenalkan sistem pengangkutan awam pintar. Sebab itulah kita sedang membangunkan sistem Transit Aliran Autonomi (ART).
“Dengan adanya ART, sistem pengangkutan akan menjadi lebih selamat. Berdasarkan taklimat yang diberikan kepada saya, ART dijadualkan tiba di stesen setiap 15 minit secara konsisten.
“Dengan itu, kita dapat merancang perjalanan dengan lebih baik melalui sistem pengangkutan awam yang cekap,” jelas beliau.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir