Kuasa Imigresen Sarawak Kawal Kemasukan Individu Dari Luar
KUCHING: Kuasa imigresen yang dimiliki Sarawak membolehkan kerajaan negeri menilai tujuan kemasukan individu ke negeri ini, termasuk berkaitan isu pelarian Rohingya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kuasa berkenaan membolehkan Sarawak mengawal kemasukan individu dari luar berdasarkan dasar dan keperluan negeri.
Menurutnya, pendirian itu selaras dengan pendekatan Sarawak dalam mengurus kemasukan individu ke negeri ini, termasuk mengambil kira aspek keselamatan serta kepentingan negeri.
“Kita melihat potensi dan tujuan seseorang yang ingin datang ke Sarawak. Jika seseorang datang tanpa tujuan yang jelas, kita akan menggunakan kuasa yang ada pada kita.
“Jika mereka datang untuk tujuan ekonomi atau sebagai pekerja asing, kemasukan mereka akan dikawal selia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sarawak Urban Forum (SUF) 2.0 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, pada Isnin.
Mengulas isu Rohingya yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, pendirian Kerajaan Sarawak untuk tidak membenarkan kemasukan mereka ke negeri ini kekal seperti sebelum ini.
Jelasnya, isu kemasukan Rohingya di Sarawak berbeza dengan situasi di Semenanjung Malaysia memandangkan golongan berkenaan tidak berada di negeri ini. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir