SKS Sri Aman Sasar 100,000 Pengunjung, Sedia 170 Kaunter Perkhidmatan
SIMANGGANG: Seramai 100,000 pengunjung disasar memeriahkan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November ini di Kompleks Sukan Sri Aman.
Program berkenaan bukan sahaja menawarkan pelbagai acara hiburan dan kebudayaan, malah menjadi platform penting bagi mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menerusi penyediaan 170 kaunter perkhidmatan melibatkan 52 agensi kerajaan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program SKS 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman, Datu Hii Chang Kee berkata, sasaran kehadiran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan pelbagai pengisian menarik yang dirancang sepanjang penganjuran program berkenaan.
Menurut beliau, antara tarikan utama ialah persembahan kebudayaan dan hiburan pada 30 Oktober yang menampilkan artis termasuk Mawat, diikuti Konsert Rakyat pada 31 Oktober dengan persembahan Baby Shima, Bob Yusof serta beberapa artis popular lain.
“Bagi memeriahkan lagi program ini, kita turut menganjurkan e-peraduan yang menawarkan lebih 100 hadiah menarik, termasuk sebuah kereta Perodua Bezza, motosikal, barangan elektronik, gajet dan barangan perhiasan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Mesyuarat Penyelarasan Program SKS 2026 Bahagian Sri Aman di Wisma Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Datu Hii berkata, penganjuran Sri Aman’s Kitchen and Sales yang mengetengahkan pelbagai produk makanan tempatan, termasuk produk berasaskan ikan bulu, turut dijangka menjadi tarikan kepada pengunjung.
Selain itu, acara Fun Walk Traditional Costume pada hari ketiga program bakal menyerlahkan keunikan warisan budaya menerusi penyertaan peserta yang mengenakan pakaian tradisional dengan sentuhan kreatif dan inovatif.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penyediaan perkhidmatan kerajaan secara berpusat merupakan antara komponen terpenting penganjuran SKS 2026.
“Sebanyak 170 kaunter perkhidmatan daripada 52 agensi kerajaan akan disediakan bagi memudahkan rakyat mendapatkan pelbagai urusan secara langsung.
“Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran berkaitan inisiatif serta pencapaian pembangunan Kerajaan Sarawak,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan penduduk Bahagian Sri Aman dan kawasan sekitarnya supaya merebut peluang menghadiri program berkenaan bersama keluarga, sekali gus memanfaatkan kemudahan perkhidmatan sehenti yang disediakan.
Sementara itu, majlis praperasmian SKS 2026 Bahagian Sri Aman dijadual disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan pada 30 Oktober.
Kemuncak program ialah majlis perasmian oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 31 Oktober.
Selepas majlis perasmian, Premier Sarawak dijadual menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Sri Aman sebelum mengadakan lawatan ke Jambatan Batang Lupar II pada jam 3 petang.-Edisi UKAS