Sarawak Berpotensi Terima Pelaburan USD50 Bilion Dalam Pusat Data Pintar
KUCHING: Sarawak berpotensi menerima pelaburan bernilai sekitar USD50 bilion atau kira-kira RM204.29 bilion yang melibatkan syarikat teknologi antarabangsa terkemuka, khususnya dalam bidang teknologi pusat data pintar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cadangan pelaburan itu sedang dalam perancangan, namun nama syarikat yang terlibat belum dapat didedahkan buat masa ini.
Menurutnya, potensi pelaburan tersebut tidak diumumkan oleh beliau namun Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pelaburan tersebut baru-baru ini setelah menghubunginya bagi mendapatkan pengesahan mengenai kehadiran pelabur berkenaan ke Sarawak.
“Ya, memang apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri itu betul namun masih dalam rangka perancangan, memang terdapat cadangan untuk melabur mengenai pusat data pintar.
“Mengenai jumlahnya, kita tidak boleh mendedahkan nama pelabur terlebih dahulu kerana ia melibatkan syarikat antarabangsa terkemuka, takut memberi kesan kepada stok mereka. Jadi, saya tidak dapat menyebut nama syarikat tersebut, tetapi memang ada pelaburan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sarawak Urban Forum (SUF) 2.0 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, pada Isnin.
Tambahnya, pelaburan berkenaan berkemungkinan akan dilaksanakan di kawasan Tanjung Embang.
Sementara itu dalam ucapan, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, kehadiran syarikat teknologi terkemuka dunia itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju pembangunan Sarawak yang berpandangan jauh serta komitmen negeri itu dalam membangunkan ekonomi baharu.
Ujarnya, Sarawak sedang melaksanakan peralihan kepada ekonomi baharu dengan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
Tambahnya lagi, usaha menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak turut menjadi antara faktor yang menyokong keyakinan pelabur terhadap ketersediaan tenaga kerja tempatan yang berkualiti.
“Syarikat teknologi terkemuka dunia datang ke Kuching. Mengapa? Kerana mereka melihat bahawa kita berpandangan jauh. Sarawak berpandangan jauh dan sedang beralih kepada ekonomi baharu, selain telah membuat persediaan dari segi modal insan dalam kalangan anak Sarawak.
“Kita menyediakan pendidikan percuma untuk mereka. Sebab itulah mereka berminat, kerana mereka tahu bahawa mereka mempunyai tenaga kerja yang berkualiti untuk bekerjasama dengan mereka,” jelas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir