DBKU Capai Tahap 1 Bandar Pintar, Sasar Tahap Seterusnya
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berjaya mencapai Tahap 1 Bandar Pintar berdasarkan Kriteria Penarafan Bandar Pintar yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, DBKU kini sedang berusaha memenuhi kriteria bagi mencapai Tahap 2 dan seterusnya melalui penggunaan teknologi serta inovasi dalam memperkukuh tadbir urus bandar.
“Selain itu, kerjasama strategik DBKU bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) membuka peluang kepada penggunaan teknologi angkasa dan data satelit dalam pengurusan bandar, pemantauan alam sekitar, perancangan guna tanah serta pengurusan bencana.
“Usaha ini memperlihatkan potensi teknologi dalam membantu kita merancang dan mengurus bandar dengan lebih cekap serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sarawak Urban Forum (SUF) 2.0 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, pada Isnin.
Tambahnya, melalui platform i-DBKU, DBKU terus memperluas penyampaian perkhidmatan digital bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, bersepadu dan mesra rakyat.
Ujarnya, antara inisiatif Bandar Pintar yang dilaksanakan termasuk sistem pencahayaan jalan pintar, lampu isyarat pintar, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan sistem televisyen litar tertutup (CCTV).
Mengulas mengenai SUF 2.0, Datuk Dr Abdul Rahman memberitahu, forum itu menyediakan platform untuk menghimpunkan pelbagai pihak bagi membincangkan pendekatan baharu dalam pembangunan bandar, termasuk pemeliharaan warisan, inovasi teknologi, mobiliti mampan, tadbir urus dan penglibatan komuniti.
Menurutnya, antara pengisian forum ialah Heritage Walk di Brooke Dockyard, lawatan teknikal perkhidmatan e-Penambang Sungai Sarawak, Kuching Car Free Morning SUF, sesi ucaptama bertajuk Building Future-Ready Cities serta sesi pleno mengenai dasar bandar untuk daya tahan, inovasi dan keterangkuman.
Beliau berharap perkongsian dan perbincangan sepanjang forum itu dapat menghasilkan idea serta cadangan praktikal yang boleh dilaksanakan demi manfaat rakyat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir