SIMANGGANG: Persiapan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman kini memasuki fasa akhir bagi memastikan kelancaran penganjurannya di Kompleks Sukan Sri Aman dari 30 Oktober hingga 1 November ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program SKS 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman, Datu Hii Chang Kee turun padang meninjau persiapan di lokasi program pada Isnin.
Lawatan bermula sekitar jam 9.15 pagi itu turut disertai Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh serta wakil jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam penganjuran program berkenaan.
Sepanjang lawatan, Datu Hii meneliti pelbagai aspek persiapan termasuk susun atur ruang pameran, laluan pergerakan pengunjung, penyediaan kemudahan awam, keperluan logistik serta aspek teknikal bagi memastikan program berjalan lancar.
Perhatian turut diberikan kepada aspek keselesaan dan keselamatan pengunjung, selain persiapan menyambut ketibaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang dijadual menyempurnakan majlis perasmian pada 31 Oktober ini.
Sejurus selesai lawatan tapak, Datu Hii mempengerusikan mesyuarat penyelarasan di Wisma Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) bagi memperincikan tahap kesiapsiagaan jawatankuasa pelaksana.
Mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan kepada pembahagian tugas, penyelarasan logistik, pengisian program serta keperluan operasi bagi memastikan semua persiapan diselesaikan mengikut jadual.
Program SKS 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Sebanyak 170 kaunter perkhidmatan melibatkan 52 agensi kerajaan bakal disediakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai perkhidmatan secara berpusat.
Selain perkhidmatan kerajaan, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran pembangunan, persembahan kebudayaan, Konsert Rakyat serta program kemasyarakatan.
Penganjuran SKS 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat, di samping memperluas akses masyarakat kepada perkhidmatan kerajaan secara langsung.-Edisi UKAS