Industri nipah bernilai komersial tinggi, perlu usaha terancang
PUSA: Kerajaan Sarawak sentiasa memberikan sokongan kepada pengusaha nipah melalui pelbagai program pembangunan dan bantuan bagi memastikan industri berkenaan terus berkembang serta mampu memberikan pulangan ekonomi yang lebih baik kepada masyarakat.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, industri nipah merupakan sektor berpotensi tinggi untuk menjana pendapatan serta meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat sekiranya diusahakan secara terancang dan berterusan.
Katanya, antara inisiatif yang diketengahkan ialah Projek Pembangunan Ladang dan Perusahaan Nipah Bersepadu serta CPPC Gula Apong di Kampung Tambak, Pusa dengan peruntukan RM11 juta.
Selain itu jelasnya, Projek Pembangunan Usahawan Sagu dan Nipah di kawasan N.29 Beting Maro, Daerah Pusa turut menerima peruntukan sebanyak RM700,000 bagi menyokong pembangunan usahawan dalam sektor berkenaan.
“Usaha memperluas penanaman nipah dan membangunkan ladang secara terancang amat penting bagi memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk memenuhi permintaan industri pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengagihan Input Pertanian Pengusaha Nipah Tahun 2026 di Pusat Ekonomi Kampung Tambak, Pusa pada Isnin.
Dato Razaili Gapor yang juga Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.29 Beting Maro turut memaklumkan bahawa sebuah kilang dirancang untuk dibangunkan di kawasan Kampung Tambak bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran produk berasaskan nipah, termasuk gula apong, air nira dan produk hiliran lain.
“Produk berasaskan nipah mempunyai nilai komersial yang tinggi dan berpotensi diperluaskan ke pasaran yang lebih besar sekiranya pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran dapat dilaksanakan secara sistematik,” tambahnya.
Dalam usaha memperkukuh rantaian industri itu, beliau menegaskan perancangan turut merangkumi penyediaan dapur halal untuk penduduk Kampung Tambak serta penubuhan sebuah koperasi baharu yang memberi tumpuan khusus kepada pengusaha nipah dan gula apong.
Inisiatif berkenaan katanya dijangka dapat membantu pengusaha menyelaraskan aktiviti pengeluaran, meningkatkan nilai tambah produk serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk kampung.
Dato Razaili turut menyifatkan Kampung Tambak sebagai kawasan yang mempunyai keistimewaan tersendiri dalam penghasilan gula apong dan berpotensi untuk terus diketengahkan sebagai antara pengeluar gula apong terbaik di Malaysia.
Beliau berharap semua pengusaha nipah dapat memanfaatkan bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dengan sebaik-baiknya, selain terus bekerjasama dalam menjayakan agenda pembangunan industri nipah dan gula apong di kawasan Beting Maro, khususnya di daerah Pusa.
Seramai 93 pengusaha nipah di Kampung Tambak, Pusa menerima bantuan input pertanian itu bagi memudahkan urusan harian, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh pembangunan industri berasaskan nipah, termasuk penghasilan gula apong.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Pembangunan Tanaman dan Pengembangan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB), Dr Hasawardi Hazmi berkata, bantuan berkenaan merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong usaha pengusaha nipah di Kampung Tambak dalam mengembangkan perusahaan mereka.
Menurut beliau, bantuan itu bertujuan meningkatkan kecekapan kerja pengusaha, di samping menyokong kelangsungan bekalan air nira sebagai bahan mentah utama bagi perusahaan berasaskan nipah, khususnya penghasilan gula apong. - EDISI UKAS