Kebajikan Keluarga Terjejas Kebakaran Di Rumah Empani Jadi Perhatian
MERADONG: Kebajikan keluarga yang terjejas akibat kebakaran melibatkan tiga buah rumah di Rumah Empani, Sungai Meradong menjadi perhatian penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menerusi lawatan ke lokasi kejadian pada Isnin.
Lawatan itu bertujuan meninjau keadaan kediaman yang terjejas serta bertanya khabar keluarga yang berdepan musibah berkenaan.
Sepanjang lawatan, Datuk Ding meluangkan masa beramah mesra dengan keluarga terlibat, mendengar keadaan yang mereka hadapi serta menyampaikan kata-kata semangat agar terus tabah menghadapi dugaan tersebut.
Beliau berharap segala urusan keluarga terjejas, termasuk usaha pemulihan selepas kejadian, dipermudahkan dan kebajikan mereka mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan, termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Meradong. -EDISI UKAS