Beting Maro Pergiat Persiapan Hadapi PRN Akan Datang
BELADIN: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro digesa mempergiat gerak kerja dan memperkemas persiapan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, semua peringkat parti, termasuk Wanita, Pemuda dan ranting, perlu memulakan persiapan lebih awal bagi memastikan gerak kerja dilaksanakan secara teratur.
Menurutnya, setiap ranting perlu mengenal pasti serta mengemas kini maklumat pengundi di kawasan masing-masing, termasuk status pendaftaran dan saluran mengundi, bagi memudahkan penyelarasan jentera pilihan raya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kesiapsiagaan semua jentera sementara menunggu pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian.
Tambahnya lagi, persiapan awal itu bertujuan memastikan penyelarasan gerak kerja di setiap ranting dapat dilaksanakan dengan teratur menjelang PRN akan datang. -EDISI UKAS