Kejayaan Uma Daro Jadi Inspirasi Komuniti Luar Bandar Murum
MURUM: Kejayaan Rumah Panjang Uma Daro Liling Padong di Bahagian Penempatan Semula (BRS) Sungai Asap, Belaga, meraih tempat ketiga keseluruhan Anugerah Aspirasi Desa MADANI (ADM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 diharap menjadi inspirasi kepada komuniti rumah panjang lain di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, pencapaian itu membanggakan dan mencerminkan komitmen, kerjasama serta semangat gotong-royong penduduk dalam memajukan komuniti setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Kaum Uma Daro Liling Padong, MU Huvang Liah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta seluruh penduduk atas usaha bersama yang menjadi asas kepada kejayaan berkenaan.
Menurutnya, perpaduan dan penglibatan aktif masyarakat penting bagi memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara berterusan, di samping memelihara adat resam serta keharmonian penduduk.
Kennedy berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, pada Majlis Kesyukuran sempena kejayaan berkenaan di Ruai Maren Uma, Blok D, BRS Sungai Asap, pada Sabtu.
Dalam ucapan sama, beliau juga menekankan kepentingan memperkasa ekonomi luar bandar melalui pembangunan pertanian moden, keusahawanan dan peningkatan kemahiran masyarakat.
Katanya, antara inisiatif kerajaan yang sedang diusahakan termasuk cadangan pelaksanaan pertanian pintar (Smart Farming), pembangunan Agriculture Transformation Centre (ATC) dan Food Terminal, serta projek perintis penanaman nanas berkualiti tinggi di BRS Sungai Asap.
Sehubungan itu, beliau menyatakan harapannya agar kejayaan Uma Daro Liling Padong menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih cemerlang serta menggalakkan kerjasama berterusan antara kerajaan, agensi berkaitan dan masyarakat setempat demi meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.
Majlis yang dianjurkan oleh JKKK Uma Daro Apau Koyan itu turit dihadiri Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan, ketua-ketua masyarakat serta wakil jabatan dan agensi kerajaan. -EDISI UKAS