51 Peserta Tamat Kelas Literasi Fungsian KEMAS Lawas
LAWAS: Seramai 51 peserta daripada tiga Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Lawas berjaya menamatkan pembelajaran bagi meningkatkan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.
Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas, Aminul Faizdrin Abdul Rahim berkata, program PLF memberi peluang kepada golongan dewasa untuk menguasai kemahiran asas yang penting bagi memudahkan urusan harian serta meningkatkan keyakinan diri.
“Penguasaan kemahiran ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, malah memudahkan urusan harian serta membuka peluang kepada peserta untuk terus menambah ilmu dan memperbaiki diri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Kelas Pendidikan Literasi Fungsian KEMAS Daerah Lawas Tahun 2026 di Dewan Hikmah Lawas, pada Isnin.
Menurutnya, faktor usia bukan penghalang untuk menimba ilmu, sebaliknya komitmen dan keazaman menjadi asas penting kepada kejayaan peserta menamatkan pembelajaran.
Sementara itu, Pegawai KEMAS Daerah Lawas, Sutinah Ibrahim berkata, kejayaan peserta menamatkan program tersebut mencerminkan kesungguhan mereka mengikuti pembelajaran di sebalik komitmen terhadap keluarga dan urusan harian.
Beliau turut menghargai penyertaan dua peserta lelaki yang membuktikan peluang mendapatkan pendidikan asas terbuka kepada semua golongan tanpa mengira usia dan jantina.
Tiga kelas PLF yang terlibat ialah di Kampung Munchu Ulu Merapok, Kampung Masjid Baru Merapok dan Kampung Baru Sundar.
Sutinah turut merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar KEMAS yang komited membimbing peserta sepanjang program berkenaan.
Hadir sama, Pemanca Hasan Pilus, Penghulu Jabat Ghani, Kaunselor Maidi Kassim dan Kaunselor Dayangku Norly Pengiran Tajudin. -EDISI UKAS