RM24.9 Juta Diperuntuk Naik Taraf Sistem Perparitan Kampung Muhibbah, RPR Sri Aman
SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM24.9 juta bagi menaik taraf sistem perparitan di Kampung Muhibbah dan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sri Aman kepada sistem parit konkrit bagi mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan keselesaan penduduk setempat.
Pelaksanaan projek itu dimulakan menerusi Majlis Penyerahan Tapak Projek Rakyat: Naik Taraf Sistem Perparitan dan Saliran Kawasan Kampung Muhibbah Sri Aman di Masjid Darul Syakirin, Kampung Muhibbah, yang disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, pada Selasa.
Peruntukan projek disediakan oleh Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), manakala tapak projek telah diserahkan kepada kontraktor, M/S Crest Reality Sdn. Bhd. dan PL Consultant, pada 12 Oktober lalu.
Difahamkan, projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf sistem perparitan sedia ada kepada parit konkrit dengan tempoh pelaksanaan dijadualkan sehingga 11 Oktober 2028.
Skop pembinaan merangkumi sistem saliran utama yang terdiri daripada longkang konkrit bertetulang (RC) tertutup selebar 2.65 meter sepanjang 132.5 meter, longkang RC selebar 2.0 meter sepanjang 1,243 meter dan longkang RC selebar 1.8 meter sepanjang 459 meter.
Turut dilaksanakan ialah pembinaan longkang RC selebar 1.5 meter sepanjang 2,160.5 meter, longkang RC selebar 1.2 meter sepanjang 3,473 meter serta laluan masuk ke rumah penduduk.
Projek yang diselia Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sri Aman itu melibatkan pembinaan sistem perparitan sepanjang keseluruhan lapan kilometer dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk di Kampung Muhibbah serta RPR Sri Aman.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka membantu mengurangkan risiko banjir di kedua-dua kawasan penempatan itu, selain menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan selamat kepada penduduk. -EDISI UKAS