Perkhemahan Belia Satok Gilap Potensi Kepimpinan, Bentuk Jati Diri Anak Muda
BAU: Seramai 50 belia dari kawasan Satok dan Petra Jaya menyertai Perkhemahan Belia Satok bagi mengasah potensi kepimpinan, memperkukuh jati diri dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda.
Program Intervensi Belia Tidak Berpersatuan anjuran Kelab Belia Pertiwi Jalan Satok itu berlangsung selama dua hari bermula 17 hingga 18 Oktober lalu di Libiki Bamboo Resort, Bau, dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak serta Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada belia yang belum menyertai mana-mana persatuan dengan menyediakan ruang untuk mereka membina keyakinan diri, meneroka potensi kepimpinan dan memahami kepentingan penglibatan aktif dalam masyarakat.
Empat komponen utama menjadi teras pengisian perkhemahan itu, merangkumi kepimpinan, pembentukan jati diri, komunikasi berkesan dan semangat berpasukan.
Menerusi aktiviti pembangunan kendiri dan interaksi berkumpulan, peserta didedahkan kepada nilai kerjasama, sikap saling menghormati serta tanggungjawab dalam membina hubungan yang positif, selain mengasah kemahiran komunikasi dan keupayaan bekerja dalam pasukan.
Program itu turut mendapat sokongan Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki yang berharap nilai serta pengajaran sepanjang perkhemahan dapat diterapkan dalam kehidupan seharian belia di kawasan Satok dan Petra Jaya.
Selain memperkukuh kemahiran insaniah, perkhemahan itu turut menjadi wadah untuk merapatkan hubungan antara belia kedua-dua kawasan, sekali gus menyemai kesedaran tentang peranan mereka dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
Kerjasama antara Kelab Belia Pertiwi Jalan Satok, JBS Negeri Sarawak dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan mencerminkan komitmen bersama dalam memperluas peluang pembangunan belia, khususnya bagi golongan yang belum aktif dalam gerakan berpersatuan.
Penganjuran program seumpama itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada penyertaan belia yang lebih aktif dalam persatuan, kesukarelawanan dan kepimpinan komuniti, sekali gus melahirkan generasi muda yang berkeyakinan, berdaya saing dan bertanggungjawab.-EDISI UKAS