Koperasi Kampung Tambak Sasar Perluas Industri Gula Apong Dan Nipah Ke Pasaran Nasional
PUSA: Penubuhan Koperasi Kampung Tambak membuka peluang kepada pengusaha tempatan memperluas industri gula apong dan produk berasaskan nipah ke pasaran nasional sekali gus meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
Ketua Cawangan PBB N.29 Beting Maro Dato Razaili Gapor berkata, penubuhan koperasi di setiap kampung dalam kawasan DUN berkenaan merupakan usaha memperkasa ekonomi penduduk melalui pengurusan industri yang lebih tersusun dan berdaya saing.
Menurut beliau, Kampung Tambak berpotensi menjadi antara pusat pengeluaran utama produk berasaskan nipah dan gula apong di Malaysia berdasarkan sumber tempatan serta penglibatan pengusaha sedia ada.
Bagi merealisasikan potensi itu, pembangunan ladang nipah yang akan diuruskan koperasi dirancang dengan sokongan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Sebuah kilang di Kampung Tambak turut disasarkan siap menjelang penghujung 2027 bagi menyokong pemprosesan produk tempatan dan meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Antara produk yang berpotensi dikembangkan ialah aiskrim gula apong selain pelbagai produk berasaskan nipah yang boleh dipasarkan ke seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pengusaha gula apong dan nipah di Kampung Tambak menyertai koperasi berkenaan bagi memperkukuh kerjasama, meningkatkan mutu pengeluaran serta menambah nilai produk tempatan.
Usaha itu diharap dapat menjadikan industri gula apong dan nipah sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi Kampung Tambak secara mampan.-EDISI UKAS