RM983,000 Diperuntukkan Bagi Lima Projek Infrastruktur Di Pelawan
SIBU: Sebanyak RM983,000 diperuntukkan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi melaksanakan lima projek menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, mengetuai lawatan tapak dan pemantauan projek di lima lokasi tersebut bagi meninjau kemajuan pelaksanaan serta menyempurnakan penyerahan projek berkenaan pada Selasa.
Antara projek yang dilaksanakan termasuklah menaik taraf gelanggang bola keranjang Persatuan Bola Keranjang Sibu di Sungai Antu dengan peruntukan RM200,000.
“Peruntukan RM200,000 telah saya sediakan untuk menaik taraf tempat duduk daripada kayu kepada konkrit serta menambah kapasiti daripada lima kepada tujuh tingkat, sekali gus meningkatkan kapasiti penonton kepada 700 orang,” ujarnya.
Sementara itu, projek menaik taraf Fasa Dua di Taman Lorong Kwong Ann 5 dan Taman Lorong Cherry 10 dijadualkan bermula bulan depan.
Projek bernilai RM300,000 di Taman Lorong Kwong Ann 5 merangkumi pembinaan trek berjalan kaki berpermukaan getah, pemasangan lampu LED, peralatan permainan kanak-kanak serta kerja-kerja landskap.
Di Taman Lorong Cherry 10 pula, peruntukan RM200,000 disediakan bagi penanaman rumput baharu, pemasangan sistem pengairan, penambahan peralatan permainan dan pemasangan lampu jalan berkuasa solar.
Datuk Michael Tiang berkata, maklum balas penduduk turut dikumpulkan bagi mengenal pasti keperluan penambahbaikan seterusnya di kedua-dua taman berkenaan.
Lawatan itu turut merangkumi pemeriksaan kerja kalis air dan penggantian bumbung di Gereja Methodist Wesley yang melibatkan peruntukan RM200,000 bagi mengatasi masalah kebocoran.
Dalam pada itu, penyerahan projek di Lorong Kwong Ann 3 bernilai RM83,000 turut dilaksanakan.
Menurut beliau, semua projek berkenaan merupakan projek tertunggak bagi tahun 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun 2027.
Hadir sama semasa lawatan tapak, Kapitan Ling Swee Hing, Kapitan So Teck Kee dan Kapitan Yong Poh Lai.-EDISI UKAS