Datu Hii Tinjau Persiapan Akhir Lawatan Premier Sarawak Ke Jambatan Batang Lupar 2
SIMANGGANG: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee mengadakan lawatan ke Jambatan Batang Lupar 2 di Sembauh pada Isnin bagi meninjau persiapan akhir menjelang lawatan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ke jambatan ikonik itu pada 31 Oktober ini.
Beliau tiba di lokasi pada 2.50 petang dan diiringi Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman, Lenny Busuri serta wakil jabatan berkaitan.
Premier Sarawak dijadual menghadiri Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman sebelum menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Stadium Tertutup Sri Aman.
Datuk Patinggi Abang Zohari kemudiannya dijangka berkunjung ke Jambatan Batang Lupar 2 pada jam 3 petang bagi meninjau kemajuan projek jambatan sepanjang 870 meter yang dibina menggunakan reka bentuk kabel kekuda (cable-stayed).
Sebelum itu, Datu Hii turut melawat tapak Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman bagi menyemak susun atur ruang pameran, laluan pergerakan pengunjung, keperluan logistik serta aspek teknikal bagi memastikan kelancaran penganjuran.
Beliau kemudiannya menghadiri mesyuarat penyelarasan di Bilik Mesyuarat, Wisma Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) bagi memperincikan persiapan akhir, termasuk penyelarasan logistik, pengisian program dan pembahagian tugas dalam kalangan jawatankuasa pelaksana.
Mesyuarat itu turut membincangkan cadangan aktiviti serta keperluan operasi bagi memastikan semua persiapan berjalan lancar menjelang penganjuran Program SKS 2026 Zon Selatan.
Program berkenaan dijadual berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman dari 30 Oktober hingga 1 November ini dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan, pameran dan aktiviti untuk orang ramai. -EDISI UKAS