Rusia Berminat Jalin Kerjasama Dengan Sarawak Dalam Teknologi Penanaman Padi
KUCHING: Rusia berminat meneroka kerjasama dengan Sarawak dalam bidang pertanian, khususnya teknologi penanaman padi, penyelidikan pertanian dan pengeluaran makanan haiwan bagi meningkatkan produktiviti sektor berkenaan.
Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov berkata, Rusia melihat potensi untuk bekerjasama dengan Sarawak berdasarkan kepakaran, teknologi dan pengetahuan tempatan dalam pengeluaran padi serta bidang veterinar.
“Kami amat berminat dengan pengalaman dan keupayaan Sarawak dalam bidang veterinar, khususnya dalam pengeluaran makanan haiwan, termasuk kaedah penghasilannya serta jenis ubat-ubatan yang boleh dihasilkan untuk haiwan.
“Kami juga berminat dengan teknologi dan pengetahuan Sarawak dalam penanaman padi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi di sini pada Selasa.
Latypov berkata, walaupun Rusia dikenali sebagai negara beriklim sejuk, keluasan wilayahnya merangkumi kawasan dengan keadaan iklim yang berbeza, termasuk kawasan yang sesuai untuk pengeluaran padi.
Katanya, pengalaman dan teknologi yang dimiliki Sarawak berpotensi menjadi asas kepada pertukaran pengetahuan serta kerjasama penyelidikan bagi meningkatkan hasil pengeluaran pertanian.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ibanez Jeffery