KUCHING: Kerajaan Persekutuan sedang menjalankan kajian bagi menentukan sama ada moratorium pelaksanaan hukuman mati yang berkuat kuasa sejak 2018 wajar dikekalkan atau ditamatkan.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Dato Dr Punitha Silivarajoo berkata, kajian itu merupakan antara dua isu utama yang sedang diberi perhatian dalam usaha menambah baik sistem perundangan negara.
Menurut beliau, satu lagi isu melibatkan cadangan pindaan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan tempoh penahanan kanak-kanak yang didapati bersalah melakukan kesalahan membunuh.
Jelasnya, di bawah peruntukan semasa, kanak-kanak yang melakukan kesalahan berkenaan tidak boleh dijatuhi hukuman mati, sebaliknya boleh ditahan tanpa tempoh tertentu.
Sehubungan itu, cadangan pindaan tersebut bertujuan menetapkan tempoh penahanan selama 20 tahun, tertakluk kepada pertimbangan Lembaga Pengampunan Negeri.
“Sesi penerangan berkaitan kedua-dua isu itu akan dilaksanakan di seluruh negeri di Malaysia dengan melibatkan pihak berkaitan termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri atau Yang di-Pertua Negeri mengikut kesesuaian setiap negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak di sini pada Selasa.
Dato Dr Punitha menambah, kunjungan yang turut melibatkan Jabatan Penjara Malaysia itu bertujuan memaklumkan perkembangan terkini berhubung kajian moratorium pelaksanaan hukuman mati serta cadangan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001.
Pertemuan tersebut juga menjadi platform untuk memberikan penerangan mengenai kedua-dua isu perundangan berkenaan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Turut hadir, Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan BHEUU, Kevin Geh Kien Meng, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan, Wan Nur Izzati Wan Yusoff, Puan Sharon Silveraj, Penolong Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan, Nur Shahkierin Abd Manan, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Hafidz Othman, Timbalan Ketua Unit Penahanan dan Pelaksanaan Hukuman, Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Penjara, Rosli Payiman serta Timbalan Pengarah Unit Pentadbiran, Norlela Jarnie. -EDISI UKAS