Pembubaran DUN Sarawak Dimaklum Secara Rasmi Kepada SPR
KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berkuatkuasa pada 26 Oktober lepas.
Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, pemakluman itu dibuat menerusi surat bertarikh 27 Oktober 2026 yang dihantar kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Datuk Harun.
Menurutnya, pilihan raya merupakan bidang kuasa eksekutif SPR yang mempunyai kuasa untuk mengumumkan tarikh pilihan raya, tarikh penamaan calon, tarikh pengundian serta urusan pelaksanaan pilihan raya, selaras dengan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
"Selepas DUN dibubarkan, SPR akan mengeluarkan writ pilihan raya yang ditujukan kepada pegawai pengurus pilihan raya bagi setiap kawasan pilihan raya negeri.
"SPR kemudiannya menerbitkan notis pilihan raya dalam Warta Kerajaan yang menetapkan tarikh berkaitan bagi proses pencalonan, penamaan calon dan hari pengundian.
"Proses ini berpandukan Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 serta Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1961," katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas mengenai Pembubaran DUN Sarawak di Bangunan DUN Sarawak pada Selasa.
Tambahnya, berdasarkan Perkara 21(4), pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, manakala DUN yang baharu hendaklah dipanggil bersidang dalam tempoh tidak melebihi 120 hari dari tarikh berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, PRN kali ini hanya melibatkan 82 kerusi DUN manakala 17 kerusi tambahan yang diluluskan oleh DUN Sarawak pada 7 Julai 2025 tidak dapat digunakan dalam pilihan raya berkenaan.
"Dukacita dimaklumkan bahawa 17 kerusi tambahan yang diluluskan oleh DUN Sarawak pada 7 Julai 2025 tidak dapat digunakan dalam pilihan raya kali ini kerana proses berkaitan tidak sempat diselesaikan untuk membolehkan kerusi-kerusi tersebut digunakan," katanya.
Untuk makluman, DUN Sarawak secara rasmi dibubarkan pada 26 Oktober 2026, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan PRN Sarawak Ke-13 yang akan melibatkan 82 kerusi sedia ada.
Pembubaran itu dibuat susulan Surat Cara Perisytiharan Pembubaran DUN yang ditandatangani Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 23 Oktober lalu. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus