42 Pelajar Didedah Langkah Lindungi Diri Daripada Jenayah Seksual
SERIAN: Seramai 42 pelajar dari tujuh sekolah menengah sekitar Serian didedahkan dengan pengetahuan mengenai keselamatan diri, hak kanak-kanak serta langkah mendapatkan bantuan sekiranya berdepan ancaman jenayah seksual.
Pendedahan itu dilaksanakan menerusi Kempen Kesedaran Perlindungan Kanak-Kanak Daripada Jenayah Seksual bertemakan “Sayangi Diri, Diriku Berharga” yang berlangsung di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Serian pada Isnin.
Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Serian, Melin Sunang berkata, kempen anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian dengan kerjasama Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Serian itu bertujuan memperkasakan golongan muda dengan pengetahuan dan kemahiran mengenal pasti situasi yang boleh mengancam keselamatan mereka.
“Program ini juga bertujuan membantu golongan muda memahami hak mereka serta mengetahui tindakan yang perlu diambil sekiranya berhadapan dengan situasi mencurigakan atau tidak selamat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Menurut beliau, usaha melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual bukan hanya terletak pada tanggungjawab keluarga, sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat, institusi pendidikan dan agensi berkaitan.
Katanya, setiap pihak memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat serta memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan sewajarnya daripada sebarang bentuk eksploitasi seksual.
Melin turut berharap kempen berkenaan dapat membina keyakinan peserta untuk bersuara, melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan dan mendapatkan bantuan daripada individu yang dipercayai apabila berhadapan dengan situasi tidak selamat.
Program sehari itu melibatkan penyertaan pelajar dari SMK Serian, SMK Tarat, SMK Tun Abdul Razak, SMK Tebekang, SMK Tebedu, SMK Balai Ringin dan SMK Siburan dengan diiringi tujuh guru pengiring.
Antara pengisian program ialah sesi perkongsian mengenai perlindungan dan keselamatan kanak-kanak, kesedaran kesihatan reproduktif, penjagaan diri serta aktiviti interaktif bersama kaunselor yang memberi penekanan terhadap sokongan psikososial dan pembinaan keyakinan diri.
Turut terlibat sebagai penceramah ialah wakil Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian, Mohamad Mahadhir Mohamad Azri, wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Inspektor Munirah Pardanah, wakil Klinik Kesihatan Siburan, Dr. Diana Law Suk Chin dan wakil Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Chan Wan Sze.-EDISI UKAS