Integriti, Ketelusan Kunci Tingkat Keyakinan Pelabur Ke Sarawak
KUCHING: Pengukuhan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran Kerajaan Sarawak penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa, khususnya ketika negeri ini berdepan prospek kemasukan pelaburan berskala besar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid DiRaja Datuk Dr Juanda Jaya berkata, pembangunan ekonomi yang pesat perlu disokong oleh tadbir urus yang baik bagi memastikan pelabur yakin terhadap integriti pengurusan pelaburan di Sarawak.
“Jadi kita perlu memperkukuhkan aspek ini bagi memastikan para pelabur antarabangsa semakin yakin dengan integriti pelaburan di Sarawak.
“Dan mereka akan memberikan kerjasama kerana mereka yakin kepada integriti, transparansi, akauntabiliti yang diamalkan dalam pentadbiran Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkenaan usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus di Sarawak menerusi Sarawak Regional Governance Leadership Programme 2026 di pejabatnya di sini pada Selasa.
Menurut beliau, Premier Sarawak sebelum ini turut menyentuh potensi kemasukan pelaburan bernilai USD50 bilion atau kira-kira RM204.29 bilion ke negeri ini, sekali gus menuntut pengukuhan integriti dan pembangunan modal insan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi disokong oleh pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.
Dalam pada itu, seramai 70 daripada lebih 200 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Sarawak akan mengikuti Sarawak Regional Governance Leadership Programme 2026 dari 2 hingga 5 November ini di Pullman Hotel, Kuching bagi memperkukuh keupayaan mereka dalam bidang integriti, pencegahan rasuah dan tadbir urus baik.
Program dengan kerjasama International Anti-Corruption Academy (IACA) dan Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) itu akan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kerjasama antarabangsa, penggunaan teknologi seperti Big Data dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti risiko rasuah, kepimpinan beretika serta pelaporan rasuah dan akauntabiliti.
Menurut Datuk Juanda lagi, kerjasama dengan IACA turut membuka ruang kepada Sarawak untuk memperluas akses kepada kepakaran dan amalan terbaik antarabangsa dalam bidang integriti, pencegahan rasuah dan tadbir urus.
Tambahnya, usaha berterusan dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus yang baik berpotensi meningkatkan reputasi Sarawak serta mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab integriti dan antirasuah di peringkat ASEAN.-EDISI UKAS