Adong Kechil West Hidupkan Semula Pengeluaran Minyak Darat Sarawak Selepas 50 tahun
SINGAPURA: Pengeluaran minyak pertama dari medan Adong Kechil West, Blok SK433 di Miri menghidupkan semula aktiviti pengeluaran minyak darat Sarawak selepas hampir 50 tahun.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata pengeluaran yang dimulakan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan PETRA Energy pada Julai 2026 itu kini mencatatkan kira-kira 800 tong minyak sehari.
Menurut beliau, perkembangan berkenaan membuktikan usaha Sarawak memperkukuh keselamatan tenaga terus membuahkan hasil, khususnya dalam memastikan bekalan tenaga mencukupi bagi menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi negeri.
“Ketika industri kita berkembang, permintaan terhadap tenaga turut meningkat.
“Justeru, kita terus memperkukuh keselamatan tenaga Sarawak dengan membangunkan sumber minyak dan gas darat serta luar pesisir, di samping memperluas penjanaan hidro dan solar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Singapore International Energy Week (SIEW) 2026 di Sands Expo and Convention Centre, Singapura, di sini pada Selasa.
Katanya, momentum berkenaan akan diteruskan menerusi aktiviti penerokaan minyak dan gas di beberapa kawasan lain termasuk Balingian, Limbang, Marudi dan Niah.
Dalam perkembangan berkaitan katanya, PETROS turut meneroka pembangunan bersepadu medan gas luar pesisir di perairan barat Sarawak bagi mewujudkan sumber bekalan gas yang lebih dipercayai untuk Kuching Low-Carbon Hub.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur gas berkenaan penting bagi menyokong keperluan penjanaan kuasa serta aktiviti industri pada masa hadapan, khususnya di wilayah selatan Sarawak.
“Ini akan membantu menarik industri dan pelaburan baharu, mewujudkan peluang hiliran serta memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Kuching LNG Terminal yang dibangunkan PETROS bersama Höegh Evi melalui Joint Development Agreement akan menjadi sebahagian daripada Kuching Low-Carbon Hub dan merupakan kemudahan regasifikasi LNG pertama Sarawak.
Datuk Dr Hazland berkata, pembangunan Tanjung Embang pula akan disokong oleh infrastruktur LNG, Kuching Deep-Sea Port dan taman perindustrian bagi menarik industri bernilai tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pemprosesan makanan serta mesin pintar.
Pada masa sama, Samajaya 2 High Tech Park di Samarahan dikenal pasti sebagai kawasan pembangunan pertama bagi memulakan Kuching Low-Carbon Hub dan disasarkan bersedia menerima pelabur menjelang awal 2028.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek Samalaju-Bintulu Pipeline sepanjang 65 kilometer dijangka siap menjelang akhir 2026 bagi menyalurkan gas asli kepada industri di Samalaju Industrial Park.
Dalam memperkukuh sistem tenaga, Sarawak katanya turut meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui apabila sembilan Solar Power Purchase Agreements telah ditandatangani, membabitkan kapasiti solar keseluruhan sebanyak 1,450 megawatt.
Usaha memperkukuh jaringan bekalan elektrik turut diteruskan menerusi grid Bunut-Medamit-Limbang yang siap pada Julai lalu serta rangkaian penghantaran Lawas, sekali gus meningkatkan bekalan tenaga di utara Sarawak.
Datuk Dr Hazland berkata, infrastruktur berkenaan turut menjadi asas penting kepada Sarawak-Sabah Interconnection, sekali gus menyokong usaha merealisasikan Borneo Grid dan inisiatif ASEAN Power Grid.
“Pertumbuhan membawa tanggungjawab. Net Zero tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan ekonomi.
“Ia perlu membentuk cara kita berkembang dengan menggunakan tenaga secara lebih cekap, mengurangkan pelepasan serta mendapatkan nilai lebih tinggi daripada sumber yang kita ada,” ujarnya.
Beliau menambah, Kabinet Negeri pada Jun lalu turut meluluskan Sarawak Net Zero Strategy and Carbon Plan, manakala kajian bagi penubuhan Sarawak Climate Finance Accelerator sedang dijalankan.
Jelasnya, langkah berkenaan mencerminkan pendekatan Sarawak dalam menyeimbangkan pembangunan ekonomi, keselamatan tenaga dan agenda kelestarian.-EDISI UKAS